Wednesday, December 8, 2010

Piala AFF Suzuki-Tahniah Malaysia!! Terima Kasih Bambang..

Malaysia terpaksa menunggu hingga minit terakhir perlawanan semalam sebelum mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki saingan peringkat kumpulan A. Walaupun berjaya membelasah Laos 5-1 semalam, keputusan itu tidak bermakna apa-apa bagi skuad kendalian K.Rajagopal jika Thailand berjaya menundukkan Indonesia dalam satu lagi perlawanan berasingan peringkat kumpulan A. Dan akhirnya berita gembira yang diterima apabila dua jaringan Bambang Pamungkas berjaya memadamkan gol awal Thailand seterusnya membantu Malaysia melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Ini bermakna Malaysia akan mengiringi Indonesia selaku naib juara kumpulan A mara ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu dengan juara dari kumpulan B di peringkat separuh akhir nanti.

"Tahniah Malaysia !, terima kasih Bambang".. ulas pengulas di T.V 1 semalam. Saya tersenyum taktala mendengar ulasan tersebut." Gembiranya pengulas sukan ni"..bisik saya. Saya berkesempatan menonton perlawanan diantara Malaysia dan Laos semalam yang disiarkan secara langsung di T.V 1. Walaupun Malaysia berkenduri gol ketika menewaskan Laos, skuad  Malaysia tidaklah boleh terlalu mendabik dada dengan kemenangan tersebut. Ini kerana gol-gol Malaysia kebanyakkan berpunca dari kesilapan benteng pertahanan Laos. Ternyata juga, Laos telah memberikan satu tentangan yang cukup hebat kepada Malaysia terutamanya pada separuh masa yang pertama dengan beberapa siri percubaan merbahaya ke arah pintu gol Malaysia yang dikawal kemas oleh Khairul Fahmi, penjaga gol muda berpotensi besar berusia 21 tahun.

Malaysia membuka akaun gol seawal minit ke-4 apabila Nor Shahrul Idlan Talaha melorongkan bola kepada Amri Yahya yang menanduk rendah untuk menghasilkan gol pertama bagi pasukan Malaysia. Namun kealpaan benteng pertahanan Malaysia mengundang padah apabila tidak sampai  4 minit kemudian, Laos berjaya mengikat semula kedudukan dengan tandukan yang kencang hasil hantaran silang yang menarik untuk menewaskan penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi. Tersentak dengan jaringan awal tersebut, Malaysia mula mengemaskan benteng pertahanan mereka yang diketuai Muslim Ahmad. Beberapa siri percubaan yang berbahaya ke arah gawang Malaysia berjaya dihasilkan Laos namun kecekapan penjaga gol Malaysia dan kekemasan benteng pertahanan berjaya menafikan gol untuk pasukan Laos. Serangan bertali arus Laos ke arah gawang Malaysia  berpunca dari dominasi kawasan tengah yang berjaya dikuasai oleh pasukan Laos yang meletakkan 5 pemain di bahagian tengah mereka diketuai 'mastermind' mereka Lamnao, pemain berjersi no 8. Ternyata peranan pemain tengah ini banyak membantu merencanakan serangan bertali arus yang dilancarkan oleh pasukan Laos. Namun dalam menghadapi gelora ganas serangan dari Laos, Malaysia berjaya juga menghasilkan gol kedua hasil lorongan cantik dari kapten pasukan Safiq Rahim yang berjaya disempurnakan sekali lagi oleh Amri Yahya untuk menamatkan separuh masa pertama dengan keputusan 2-1..

Skrip berbeza berjaya diterjemahkan pasukan Malaysia pada separuh masa kedua apabila tampil dengan aksi yang lebih bertenaga dan bersemangat. Hujan lebat turun tidak lama kemudian menyukarkan sedikit pergerakan pemain-pemain dek kerana padang yang licin. Namun itu tidak sesekali menjadi alasan untuk menghalang Malaysia dari terus 'mengganas' apabila berjaya meledakkan 4 lagi gol ke arah gawang pasukan Laos.Gol ketiga Malaysia disumbangkan oleh pemain tengah, Amirulhadi Zainal berpunca dari kesilapan pertahanan Laos. Skrip sama berulang untuk gol yang keempat. Dek kerana kesilapan dan kealpaan benteng pertahanan Laos, Nor Shahrul Idlan Talaha dengan tenang berjaya meledakkan gol yang keempat buat Malaysia untuk kedudukan yang semakin selesa, 4-1..Pada minit-minit akhir perlawanan, Malaysia berjaya menambah lagi akaun gol mereka kepada lima apabila.Namun,gol kali ini dihasilkan menerusi pertahanan Laos sendiri dalam keadaan yang tidak di duga untuk kedudukan 5-1..gol yang lucu..kate pengulas semalam..(yeke lucu?huhu). Untuk rekod, Malaysia tidak pernah tewas kepada Laos termasuklah pertemuan terakhir mereka pada separuh akhir sukan Sea di Laos pada2007 (Malaysia menang 3-1).kecuali sekali sahaja pada tahun 1997 ketika di kejohanan sukan Sea yang mana Laos berjaya menundukkan Malaysia dengan keputusan 1-0.

Debaran semakin terasa taktala menunggu keputusan perlawanan antara Indonesia dan Thailand. Jika Thailand menang, Malaysia akan kehilangan slot ke separuh akhir. Jika Thailand tewas atau sekadar seri ini bermakna slot separuh akhir akan menjadi milik Malaysia.Dan akhirnya debaran hilang taktala menerima berita gembira yang dikhabarkan apabila Indonesia menerusi dua gol dari Bambang Pamungkas berjaya menjinakkan Sang 'Gajah Putih' untuk memastikan mereka terus menggunguli kumpulan A dengan 9 mata. Ini juga bermakna,Malaysia akan mengiringi pasukan Indonesia selaku naib juara kumpulan A dengan 4 mata. Thailand di kedudukan ketiga dengan 2 mata, manakala Laos di tangga tecorot kumpulan A dengan sekadar 1 mata sahaja. Tahniah Malaysia!, terima kasih Bambang!

Denagan kejayaan mengisi slot ke separuh akhir, Malaysia kembali membuka peluang mereka untuk memenangi Piala AFF  buat pertama kali dalam sejarah bola sepak Malaysia (sebelum ni dikenali dengan Piala Tiger). Pencapaian terbaik Malaysia sebelum ini hanyalah sekadar menjadi naib juara pada tahun 1996 apabila tewas di tangan pasukan Thailand dengan keputusan 1-0. Namun, K.Rajagopal dan anak-anak buahnya haruslah merencanakan sesuatu agar persembahan di peringkat kumpulan tidak berulang lagi taktala beraksi di peringkat separuh akhir nanti. Ini kerana agak sukar untuk merencanakan kejayaan jika aksi sama di peringkat kumpulan dipamerkan di peringkat separuh akhir nanti. Saya yakin jika persembahan yang dipamerkan Malaysia di peringkat separuh akhir nanti lebih baik daripada persembahan peringkat kumpulan, tidak mustahil untuk Malaysia mendakap piala AFF kali ini buat pertama kali dalam sejarah mereka.Ayuh Skuad Malaysia.. Malaysia Boleh!!

note: Jangan bergantung harap pada bantuan orang semata-mata..Fikir-fikirkan.=)

No comments:

Post a Comment