Sunday, December 5, 2010

Pemimpin Terpilih atau Dipilih...?

Saya ditimpa demam panas sejak semalam...sudah lama saya tidak ditimpa dengan penyakit demam. Dan semalam benar-benar menguji saya. Selepas solat subuh, saya terus merebahkan diri untuk berehat kerana saya tidak larat untuk berdiri dan akhirnya tertidur. Apabila saya bangun, dunia ini kelam pada pandangan saya dan apa yang saya mampu lakukan hanyalah berbaring sahaja.Kepala terasa sangat berat, tekak yang terasa amat pedih dan batuk yang tak henti-henti. Saya berbisik dalam hati saya.."moga sakit aku ini menjadi penghapus dosa-dosa kecil ku"..Alhamdulillah dengan izin ALLAH, hari ini sakit saya sudah berkurangan (panas lagi badan saya) dan dek kerana ibu menyuruh saya berehat saja saya mengambil peluang ini untuk mencoretkan sesuatu di laman blog saya...(bosan kalau tak wat ape-ape..kui3)..

Saya tekejut dan terkesima seketika taktala diamanahkan untuk menjadi salah seorang pimpinan sebuah persatuan yang agak berpengaruh di kampus beberapa bulan yang lalu. Pelbagai persoalan bermain di  kotak fikiran saya.."mampukah aku?..layakkah aku?" dan bermacam lagi persoalan  yang terus bermain di  kotak fikiran saya. Namun hati saya tenang kembali taktala seorang sahabat mengirimkan sebuah mesej yang menguatkan kembali keyakinan saya.."Amanah dari ALLAH bukan diberi atas dasar kita mampu semata-mata, tetapi ada ketika ALLAH kurniakan amanah untuk memberi peluang kepada hambanya untuk membentuk dirinya menjadi insan yang lebih baik"..begitulah antara kandungan mesej tersebut. "ALLAH telah memilih kamu sebagai pimpinan, maka laksanakan amanah itu sebaiknya"..pesan seorang sahabat saya. InsyaALLAH saya akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaiknya..tekad saya.

Terpilih atau dipilih?..tajuk kandungan dalam sebuah majalah Islam. Berkisarkan mengenai peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin..."macam relate je dengan diri aku..yeke?..huhu"..bisik saya..saya dengan penuh perasaan minat terus membacanya....

Pemimpin mesti mengisi keperluan jiwa rakyat. Hal ini kerana jiwa merupakan raja dalam diri yang menentukan buruk dan baik sikap seseorang.Oleh sebab itu, jiwa tidak boleh di abaikan. Tetapi oleh sebab sifatnya yang abstrak (maknawi), maka keperluannya juga bersifat abstrak. Jadi, keperluan jiwa ialah iman dan taqwa. Antara isi awal kandungan tajuk "Terpilih atau dipilih"..

Dalam hal ini, hanya pemimpin yang mempunyai "mata hati" sahaja dapat melihat adanya keperluan ini dan cara untuk memenuhinya. Jika jasad perlukan makan minum, akal perlukan ilmu, maka hati atau jiwa pula memerlukan iman(keyakinan). Keyakinan (belief) sangat penting dalam hidup kerana dengan sikap itu dapat memberi arah tuju bagi segala aktiviti manusia. Keyakinan juga yang menentukan sistem nilai, paradigma ataupun pandangan alam (world view) seterusnya sikap serta kelakuan seseorang. Tegasnya, ilmu yang tinggi sahaja tidak akan membawa ke mana-mana tanpa keyakinan yang mantap. Jadi, keyakinan yang bertapak di hati ini perlu dibangunkan oleh seorang pemimpin. Oleh sebab itu, pemimpin perlu berusaha memantapkan soal keyakinan dan sistem nilai dalam jiwa rakyat.

Bagi memantapkan soal yang berkaitan dengan keyakinan ini, para pemimpin mestilah terlebih dahulu memiliki keyakinan tersebut dan seterusnya berjaya menterjemahkan keyakinan itu menerusi sikap dan perlakuan. Hanya keyakinan yang dapat membentuk keyakinan. Dan keyakinan yang mantap mesti melahirkan tindakan. Tindakan inilah yang akan membentuk sikap dan sikap inilah yang kemudiannya membentuk role model. Sehubungan itu, cara mendidik yang berkesan adalah dengan mempamerkan teladan yang baik. Seorang pemimpin yang mempunyai keperibadian yang baik secara tidak langsung telah mempunyai kemahiran yang paling tinggi dalam mendidik pengikutnya. Hal ini kerana rakyat lebih mempercayai mata (apa yang mereka lihat) berbanding telinga mereka (apa yang mereka dengar). Rakyat akan mudah mengikut cakap pemimpin jika apa yang dibuat oleh pemimpin selaras dengan apa yang mereka cakapkan.

Walau bagaimanapun, keperluan rohani terhadap iman dan taqwa sangat sukar diisi oleh para pemimpin sedangkan iman dan taqwa merupakan keperluan yang paling utama dibandingkan dengan keperluan lain. Oleh sebab memandang remeh akan keperluan inilah, maka kita kini sedang berdepan dengan pelbagai masalah. Atas sebab itulah, pada hari ini kita dapati ramai remaja yang terjerumus ke lembah kejahatan walaupun telah mendapat hidup dan ilmu yang tinggi. Sebagai pemimpin, mereka harus menyedari bahawa tanggungjawab mereka bukan sahaja memberi kemudahan dan keselesaan hidup di dunia, tetapi juga keselamatan dan kebahagiaan di akhirat.

Jadi, sesiapa yang beria-ia hendak menjadi pemimpin, sewajarnya mereka bermuhasabah sejenak...Apakah sudah ada kemampuan untuk mengisi keperluan jiwa diri dan orang yang dipimpin. Jika mereka benar-benar "pemimpin terpilih" (selected leader) bukan sekadar "pemimpin dipilih" (elected leader), insyaALLAH mereka akan mampu menyedari hakikat ini!...

Note: Renung-renungkan wahai para pemimpin..=)

No comments:

Post a Comment