Sunday, June 26, 2011

MURTAD : Sejarah dan Aplikasi Konsep Persaudaraan

“Mahkamah Syariah menerima 863 kes permohonan untuk menukar status agama Islam dari tahun 2000 hingga 2010, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom Beliau menjawap soalan lisan daripada Er Teck Hwa (DAP-Bakri) yang meminta perdana menteri menyatakan jumlah permohonan murtad bagi penganut Islam dan berapakah jumlah yang diluluskan mengikut negeri sepanjang sedekad yang lalu… Jamil dalam jawapannya berkata mengikut perangkaan yang dibekalkan kepada kementeriannya menunjukkan sejumlah 168 orang yang memohon untuk meninggalkan agama Islam diluluskan. Bagaimanapun perangkaan yang dibekalkan kepada Dewan Rakyat itu tidak selaras dengan jumlah yang dikira. Mengikut kiraan Malaysiakini, jumlah permohonan untuk murtad adalah 686 manakala permohonan yang diluluskan pula adalah 135 orang.”
Kenyataan di atas dipetik daripada sumber Malaysiakini yang menyebut mengenai jumlah orang Islam yang murtad ataupun keluar dari agama Islam. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan murtad?

Murtad berasal dari perkataan bahasa Arab iautu riddah atau irtidad. Dari sudut bahasa, perkataan riddah kebiasaanya bermaksud kembali atau rujuk. Iaitu kembali daripada sesuatu kepada sesuatu yang lain. Adapun perkataan irtidad membawa pengertian yang lebih luas iaitu mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai agama lain. Manakala dari segi istilah pula murtad membawa maksud keluar dari agama Islam atau tidak mempercayai agama Islam sama ada melalui perbuatan, perkataan atau iktikad.

Terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa seseorang Islam juga di anggap murtad sekiranya dia mencampakkan al-Quran, mencerca Rasululullah atau sebagainya. Ayat Al-Quran juga ada membicarakan mengenai murtad. Antaranya adalah ayat di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud :
“..Barangsiapa yang murtad diantara kamu dari agamanya lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalanya di dunia dan di akhirat dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” (Surah Al-Baqarah ayat 217)

Apabila membicarakan mengenai isu murtad, ianya bukanlah satu perkara baru yang berlaku di kalangan umat Islam khususnya di kalangan umat islam negara ini sendiri. Gejala murtad selalunya dikaitkan dengan golongan saudara baru yang memeluk Islam. Ini kerana mereka masih baru memeluk Islam, jadi pegangan dan keyakinan mereka masih belum cukup utuh. Tambahan lagi dengan pelbagai faktor yang menyebabkan ada di antara mereka kecewa dan gagal menyesuaikan diri dengan agama baru menyebabkan mereka bertindak kembali semula kepada agama asal mereka. Perkara seumpama ini tidak seharusnya berlaku dan tindakan seharusnya diambil untuk menangani masalah ini dari terus berlaku. Jika keadaan ini terus berlaku, ianya bukan sahaja memberi imej yang buruk kepada agama Islam sendiri malah menyukarkan lagi penerimaan golongan bukan Islam terhadap agama Islam.

Sejarah Murtad

Sejarah permulaan peristiwa murtad telah berlaku semenjak zaman Rasulullah s.a.w lagi yakni ketika baginda berada di Mekah dan Madinah. Di antara kejadian murtad yang paling masyhur yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w semasa berada di Mekah adalah yang berlaku ketika peristiwa Isra’ dan Mikraj.

Israk Mikraj
Peristiwa ini di anggap bertentangan dengan kewarasan pemikiran manusia yang rasional kerana pertamanya diceritakan perjalanan Rasulullah dari masjidil haram di Mekah ke Masjidil al-Aqsa di Palestin mengambil masa hanya satu malam sahaja sedangkan perjalan biasa pada ketika itu mengambil masa dua bulan lamanya pergi dan balik. Keduanya kisah Rasulullah s.a.w dibawa melintasi langit sehingga bertemu ALLAH di sidratul muntaha dan pelbagai peristiwa yang sukar diterima rasional akal ketika dalam perjalanan baginda ke langit. Kejadian ini berlaku lapan belas bulan sebelum berlakunya peristiwa hijrah Baginda ke madinah. Ibn Kathir menjelaskan sebaik sahaja diceritakan peristiwa Israk dan Mikraj ini, maka ada di kalangan umat Islam yang tidak percaya dan terus murtad lantaran kisahnya yang melangkaui rasional pemikiran manusia.

Peristiwa murtad juga berlaku ketika nabi Muhammad s.a.w berada di Madinah iaitu selepas berlakunya peristiwa hijrah. Di antaranya adalah peristiwa kemurtadan al- Harith bin Suid Ibn al-Samit al-Ansari. Dalam peristiwa peperangan Uhud, al-Harith yang ketika itu berjuang bersama tentera Islam telah mengambil kesempatan daripada suasana kelam kabut peperangan membunuh salah seorang tentera Islam yang bernama al-Mujazzir bin Zaid al-Badawi berpunca dari dendam kesumat beliau terhadap al-Mujazzir. Setelah membunuh al-Mujazzir, al-Harith terus melarikan diri ke Mekah dan murtad di sana.

Peristiwa murtad juga berlaku ketika zaman pemerintahan khalifah Islam yang pertama, iaitu ketika zaman Abu bakar al-Siddiq. Saidina Abu bakar al-Siddiq terpaksa berhadapan dengan kumpulan yang enggan membayar zakat kepada kerajaan Islam. Kumpulan ini terdiri daripada kaum Asad dan Ghatfan dengan diketuai Tulaihah bin Khuwailid al-Asadi. Kata Saidina Abu Bakar taktala memerangi golongan ini “Demi ALLAH aku akan memerangi sesiapa sahaja yang memisahkan di antara kewajipan sembahyang dan kewajipan mengeluarakan zakat”. Keputusan Saidina Abu Bakar untuk memerangi golonglan ini merupakan satu kepoutusan yang tepat walaupun pada mulanya tidak dipersetujui para sahabt yang lain termasuk Saidina Umar al-Khattab.

Aplikasi konsep persaudaraan dalam menangani Murtad

Antara faktor dalaman yang menyebabkan berlakunya kejadian murtad ialah kerana kelemahan umat Islam itu sendiri. Umat Islam hari ini berdepan dengan masalah dan krisis akidah yang cukup serius lantaran kurangnya pemahaman dan penghayatan serta pengamalan mereka terhadap ajaran Islam.  Kelemahan dan sikap umat Islam yang tidak prihatin termasuk nasib dan kebajikan para saudara baru juga menjadi punca utama kepada berlakunya kejadian murtad di kalangan golongan ini.

Prof. Sven (Muhammad) Kalisch
Meskipun, tidak dinafikan ada diantara mereka ini yang memeluk Islam atas kepentingan tertentu, tetapi proses dakwah dan pemantapan akidah juga perlu diteruskan secara konsisten dan berterusan. Ada di kalangan saudara baru ini yang mengambil keputusan keluar dari agama Islam lantaran rasa kecewa terhadap keadaan masyarakat Islam itu sendiri. Penerimaan masayarakat Islam terhadap golongan saudara baru juga masih tidak sepenuhnya dan menyeluruh. Dan juga beberapa sebab lain yang meyebabkan mereka keluar daripada agama Islam dan kembali kepada agama asal masing-masing.

Maka, disinilah konsep persaudaraan dalam Islam harus diaplikasikan sebaiknya untuk membendung gejala murtad yang kebanyakkannya dari dalam kalangan saudara baru. Keprihatinan umat Islam, khususnya mahasiswa Islam terhadap saudara baru

“Seseorang Muslim itu adalah saudara Muslim yang lain. Dia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh), barangsiapa yang menunaikan hajat saudaranya nescaya Allah akan menunaikan hajatnya, dan barangsiapa yang menghilangkan daripada seorang Muslim satu kesusahan nescaya Allah akan menghilangkan satu kesusahan daripada kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat kelak, dan barangsiapa yang menyembunyikan (keaiban) seorang muslim nescaya Allah akan menyembunyikan (keaibannya) pada hari kiamat.” – Riwayat Bukhori dan Muslim

Faktor yang lain pula adalah di sebabkan persekitaran yang tidak kondusif, tidak sihat dan negatif yang menyebabkan anak-anak orang Islam mudah terpengaruh dengan cara hidup yang bertentangan dengan cara hidup Islam. Kewujudan sarang-sarang maksiat seperti pusat disko, rumah pelacur dan sebagainya memburukkan lagi situasi keruntuhan akhlak di kalangan anak-anak orang Islam yang terdiri dari kalangan remaja menyebabkan situasi ini satu situasi yag cukup menggerunkan mereka yang peka terhadap nasib-nasib umat islam pada masa kini. Mereka terpengaruh dengan gaya hidup barat yang liar menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk keluar dari agama Islam dengan harapan dapat bebas dari mengamalkan ajaran Islam yang seolah mengongkong hidup mereka.. Remaja atau anak muda merupakan tonggak masa depan negara. Jika keadaan seperti ini berterusan dan tiada usaha untuk membendung gejala ini, tidak mustahil negara akan runtuh seperti mana runtuhnya akhlak anak-anak muda ini.

Pengaruh negatif
Faktor diatas merupakan antara fakor-faktor yang menyumbang kearah berlakunya gejala murtad. Maka pada pandangan saya, selaku mereka yang bergelar mahasiswa Islam, gejala murtad ini haruslah dipandang sebagai satu perkara yang sangat serius dan menjadi tanggungan untuk kita semua bersama menanganinya.

Kejadian murtad dalam apa sahaja keadaan tidak harus dibiarkan dan mestilah diberikan perhatian sewajarnya. Maka, perkara dakwah merupakan antara elemen penting yang harus di titikberatkan dalam usaha membawa mereka yang murtad kembali kepada Islam. Usaha dan matlamat dakwah juga tidaklah harus sekadar untuk mengislamkan seseorang kembali tapi juga haruslah mempunyai tujuan untuk membentuk keperibadian Islam yang jitu di kalangan mereka.

Umat Islam juga haruslah menterjemahkan konsep persaudaraan seperti yang dianjurkan Islam. Bak kata pepatah, kalau dicubit paha kanan, paha kiri juga terasa sakitnya. Jika perkara ini dapat disemai dalam hati masing-masing, tidak mustahil masalah murtad yang berlaku dapat di atasi.


“Daie Mutarabbi Memimpin Ummah”

Mohd Syakirin Bin Md Zahar
Timbalan Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam UPM (PMIUPM)

Thursday, June 16, 2011

Kelebihan Solat di awal waktu~

Setiap peralihan waktu solat sebenarnya menunjukkan perubahan tenaga alam ini yang boleh diukur dan dicerap melalui perubahan warna alam.

Aku rasa fenomena perubahan warna alam adalah sesuatu yang tidak asing bagi mereka yang terlibat dalam bidang fotografi, betul tak?

Waktu Subuh

Sebagai contoh, pada waktu Subuh alam berada dalam spektrum warna biru muda yang bersamaan dengan frekuensi tiroid yang mempengaruhi sistem metabolisma tubuh.

Jadi warna biru muda atau waktu Subuh mempunyai rahsia berkaitan dengan penawar/rezeki dan komunikasi.

Mereka yang kerap tertinggal waktu Subuhnya ataupun terlewat secara berulang-ulang kali, lama kelamaan akan menghadapi masalah komunikasi dan rezeki.

Ini kerana tenaga alam iaitu biru muda tidak dapat diserap oleh tiroid yang mesti berlaku dalam keadaan roh dan jasad bercantum (keserentakan ruang dan masa) - dalam erti kata lain jaga daripada tidur.

Di sini juga dapat kita cungkil akan rahsia diperintahkan solat di awal waktu.

Bermulanya saja azan Subuh, tenaga alam pada waktu itu berada pada tahap optimum.

Tenaga inilah yang akan diserap oleh tubuh melalui konsep resonan pada waktu rukuk dan sujud.

Jadi mereka yang terlewat Subuhnya sebenar sudah mendapat tenaga yang tidak optimum lagi.

Waktu Zohor

Warna alam seterusnya berubah ke warna hijau (Isyraq & Dhuha) dan kemudian warna kuning menandakan masuknya waktu Zohor.

Spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi perut dan hati yang berkaitan dengan sistem penghadaman.

Warna kuning ini mempunyai rahsia yang berkaitan dengan keceriaan.

Jadi mereka yang selalu ketinggalan atau terlewat Zuhurnya berulang-ulang kali dalam hidupnya akan menghadapi masalah di perut dan hilang sifat cerianya. Orang yang tengah sakit perut ceria tak?

Waktu Asar

Kemudian warna alam akan berubah kepada warna oren, iaitu masuknya waktu Asar di mana spektrum warna pada waktu ini bersamaan dengan frekuensi prostat, uterus, ovari dan testis yang merangkumi sistem reproduktif.

Rahsia warna oren ialah kreativiti.

Orang yang kerap tertinggal Asar akan hilang daya kreativitinya dan lebih malang lagi kalau di waktu Asar ni jasad dan roh seseorang ini terpisah (tidur la tu).

Dan jangan lupa, tenaga pada waktu Asar ni amat diperlukan oleh organ-organ reproduktif kita.

Waktu Magrib

Menjelang waktu Maghrib, alam berubah ke warna merah dan di waktu ini kita kerap dinasihatkan oleh orang-orang tua agar tidak berada di luar rumah.

Ini kerana spektrum warna pada waktu ini menghampiri frekuensi jin dan iblis (infra-red) dan ini bermakna jin dan iblis pada waktu ini amat bertenaga kerana mereka resonan dengan alam.

Mereka yang sedang dalam perjalanan juga seelok-eloknya berhenti dahulu pada waktu ini (solat Maghrib dulu la) kerana banyak interferens (pembelauan) berlaku pada waktu ini yang boleh mengelirukan mata kita.

Rahsia waktu Maghrib atau warna merah ialah keyakinan, pada frekuensi otot, saraf dan tulang.

Waktu Isyak

Apabila masuk waktu Isyak, alam berubah ke warna Indigo dan seterusnya memasuki fasa Kegelapan.

Waktu Isyak ini menyimpan rahsia ketenteraman dan kedamaian di mana frekuensinya bersamaan dengan sistem kawalan otak.

Mereka yang kerap ketinggalan Isyaknya akan selalu berada dalam kegelisahan.

Alam sekarang berada dalam Kegelapan dan sebetulnya, inilah waktu tidur dalam Islam.

Tidur pada waktu ini dipanggil tidur delta di mana keseluruhan sistem tubuh berada dalam kerehatan.

Qiamullail

Selepas tengah malam, alam mula bersinar kembali dengan warna putih, merah jambu dan seterusnya ungu di mana ianya bersamaan dengan frekuensi kelenjar pineal, pituitari, talamus dan hipotalamus.

Tubuh sepatutnya bangkit kembali pada waktu ini dan dalam Islam waktu ini dipanggil Qiamullail.

Begitulah secara ringkas perkaitan waktu solat dengan warna alam.

Manusia kini sememangnya telah sedar akan kepentingan tenaga alam ini dan inilah faktor adanya bermacam-macam kaedah meditasi yang dicipta seperti taichi, qi-gong dan sebagainya.

Semuanya dicipta untuk menyerap tenaga-tenaga alam ke sistem tubuh.

Kita sebagai umat Islam sepatutnya bersyukur kerana telah di’kurniakan’ syariat solat oleh Allah s.w.t tanpa perlu kita memikirkan bagaimana hendak menyerap tenaga alam ini.

Hakikat ini seharusnya menginsafkan kita bahawa Allah s.w.t mewajibkan solat ke atas hamba-Nya atas sifat pengasih dan penyayang-Nya sebagai pencipta kerana Dia tahu hamba-Nya ini amat-amat memerlukan-Nya.

Adalah amat malang sekali bagi kumpulan manusia yang amat cuai dalam menjaga solatnya tapi amat berdisiplin dalam menghadiri kelas taichinya.

Sumber : Laman Portal ILoveIslam

Tuesday, June 14, 2011

Israel masuk UPM?

Serdang, 14 JUN – Semalam satu perlawanan ‘Tomoy’ telah diadakan di Dewan Putra 3, Kolej Pendeta Za’aba bertempat di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang yang dianjurkan oleh AXN Astro dalam rancangan ‘Then Challenger’ yang akan disiarkan tidak lama lagi. Perlawanan ini merupakan salah satu Pertandingan muay thai yang berlansung hingga 7 Julai.

Tempat perlawanan yang digantung bendera ISRAEL
Peserta pada malam itu adalah terdiri daripada juara dari negara Perancis dan Israel yang berlawan satu lawan satu selama hampir satu jam. Penyokong yang hadir dalam perlawanan itu terdiri daripada penyokong Israel seramai ¼ dan penyokong Perancis seramai ¾ dewan.
Persoalannya ialah, bagaimana pihak pentadbiran Universiti dan kerajaan sewenang-wenangnya membenarkan kemasukan warga Israel ke dalam Malaysia khususnya di Universiti Putra Malaysia? - mediaPMIUPM

Tuesday, June 7, 2011

Muktamar PAS ke 57~ Barisan 'Panglima' menghadapi PRU 13

KUALA LUMPUR, 4 Jun:


Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Kesemua mereka akan menerajui kepimpinan PAS bersama Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menang tanpa bertanding.
Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani shamsuddin (579)
10) Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)

Sumber : harakahdaily.net

Nilai IPU mengikut perspektif Islam~

Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 41:
Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.
Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 30-31:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”..
Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
Ayat Al-Quran di atas antara ayat-ayat ALLAH yang menyentuh mengenai kerosakan yang ironisnya dikaitkan dengan kelakuan manusia yang tidak pernah putus melakukan kerosakan di atas muka bumi ALLAH. Pencemaran terutamanya yang melibatkan alam sekitar seolah dipandang enteng oleh kebanyakkan manusia di muka bumi ALLAH ini sedangkan bumi atau alam ini merupakan amanah ALLAH kepada kita sebagai khalifah yang mentadbir muka bumi ALLAH ini.
Selain ayat di atas juga, ada berpuluh-puluh malah beratus-ratus ayat quran yang menceritakan mengenai alam sekitar yang sepatutnya membuat kita berfikir mengenai ciptaan serta kekuasaan ALLAH. ALLAH bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang, matahari dan sebagainya di dalam kalamNYA yang mulia tidak lain tidak bukan bertujuan adalah supaya kita sentiasa bersyukur dan menghargai ciptaan-ciptaanNYA yang tidak ternilai hebatnya.
Maka apabila berbicara mengenai pencemaran alam sekitar, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencemaran itu sendiri?
Tasik IPG Penang
Menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras sinaran mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan. Dan antara contoh-contoh pencemaran adalah pencemaran udara, pencemaran air dan sebagainya.

Berita pada hari ini melaporkan mengenai kebakaran di negara jiran yang menjejaskan kualiti udara negara kita sehinggakan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di berapa lokasi utama negara menunjukkan peningkatan. Sebagai tambahan, Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah merupakan salah satu cara untuk mengetahui tahap teruknya jerebu. Ia melibatkan pengukuran kuantiti zarah halus merbahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut:
Nilai IPU Kualiti udara
0 – 50 Baik
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak sihat
201 – 300 Sangat tidak sihat
301 – 400 Berbahaya
401 – 500 Sangat berbahaya
Lebih 501 Darurat

Memetik kenyataan Pengarah Bahagian Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyebutkan bahawa situasi yang berlaku sekarang ini sehingga memberi kesan pandangan terhad terhadap beberapa lokasi di negara kita merupakan fenomena biasa akibat pencemaran rentas sempadan berpunca daripada beberapa kawasan di Riau dan Sumatera Indonesia yang kini sedang mengalami kebakaran menyebabkan tempiasnya dirasai di negara kita apabala angin barat daya membawa udara kering tersebut.
Beliau juga menambah, fenomena yang berlaku ini masih belum menyebabkan negara mengalami jerebu tetapi hanya mengalami keadaan kurang ketampakan atau dalam erti kata lain pandangan terhad. Namun, tidak mustahil fenomena jerebu yang pernah melanda negara kita satu ketika dahulu berulang kembali pada kali ini andai tiada alternatif ataupun langkah diambil oleh pihak-pihak terbabit dalam membendung keadaan yang sedang berlaku sekarang ini.
Dalam masa yang sama, tidak di nafikan juga bahawa di negara kita, usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar telah dilakukan sejak sekian lama cuma hasilnya tidak kelihatan kerana masih kurangnya kesedaran di kalangan kita semua.Mari kita berdoa agar kita semua sentiasa berada dalam lingkungan kerahmatan dan peliharaan ALLAH dari perkara serta bencana yang kita tidak ingini.

Maka, pada pandangan saya, mahasiswa terutamanya mereka yang bergelar mahasiswa Islam perlulah cakna atau mengambil tahu perkara yang melibatkan kerosakan alam sekitar bukan sahaja yang berlaku di negara kita malahan di negara lain kerana sudah jelas lagi nyata bahawa alam ini merupakan amanah kepada kita dan kita digesa untuk memakmurkannya.Dalam Islam, islam mengajar supaya kita sentiasa mengenang budi kepada alam kerana kita mengetahui bahawa diri kita ini dicipta daripada unsur yang berkaitan dengan alam, seperti tanah, air, udara dan lain-lain. Maka sewajarnya kita menghargai semua unsur alam dalam diri kita ini dengan cara memelihara serta menjaganya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61:
Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.
 Kesimpulannya, alam ini seharusnya di urus dengan baik dan kesedaran mengenai penjagaan alam perlu disemai sentiasa kerana kita memerlukan alam untuk hidup, dan alam juga memerlukan kita menjaganya untuk terus sihat dan berfungsi dengan fungsinya yang asal.

-DAIE MUTARABBI MEMIMPIN UMMAH-

MOHD SYAKIRIN BIN MD ZAHAR
TIMBALAN PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (PMIUPM)