Tuesday, February 1, 2011

Rasulullah Menangis Melihat Wanita~

Rasulullah ceritakan pengalaman saksi balasan dahsyat ketika isra' mi'raj, Ali berkata: "Saya dengan Fatimah pergi menghadap Rasulullah SAW. Kami dapati beliau sedang menangis, lalu kami bertanya kepadanya, apakah yang menyebabkan ayahanda menangis, ya Rasulullah?" Baginda SAW menjawab: "Pada malam aku diisr'k hingga ke langit, di sana aku melihat perempuan dalam keadaan amat dahsyat. Dengan sebab itu aku menangis mengenangkan azab yang diterima mereka."

Ali bertanya: "Apakah yang ayahanda lihat di sana?" Rasulullah SAW menjawab: "Aku lihat ada perempuan digantung rambutnya, otak kepalanya menggelegak. Aku lihat perempuan digantung lidahnya, tangannya diikat ke belakang dan timah cair di-curah ke dalam halkumnya (tekak). "Aku lihat perempuan yang digantung kedua kakinya terikat, tangannya diikat ke ubun-ubunnya, disuakan ular dan kalajengking. Aku lihat perempuan yang memakan dagingnya sendiri, di bawahnya dinyalakan api neraka. Aku lihat perempuan mukanya hitam dan memakan tali perutnya sendiri. "Aku lihat perempuan yang telinga pekak dan matanya buta, diisikan ke dalam peti yang diperbuat daripada api neraka, otaknya keluar daripada lubang hidung, badan bau busuk kerana penyakit kusta dan sopak.

"Aku lihat perempuan yang kepalanya seperti babi, badannya seperti himar berbagai kesengsaraan dihadapinya. Aku lihat perempuan yang rupanya seperti anjing, kala dan ular masuk ke kemaluannya, mulut dan pelepasnya (punggung). Malaikat memukulnya dengan corong api neraka." Fatimah pun bertanya kepada ayahandanya: "Ayahanda yang dikasihi, beritakanlah kepada ananda, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan itu?"

Rasulullah menjawab: "Fatimah, adapun perempuan tergantung rambutnya itu adalah perempuan yang tidak menutup rambut daripada bukan muhrimnya. Perempuan tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya. "Perempuan yang digantung susunya adalah perempuan yang menyusukan anak orang lain tanpa suaminya. Perempuan kedua kakinya tergantung itu ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya.

"Perempuan tidak mau mandi setelah haid nan nifas ialah perempuan yang memakan badannya sendiri, juga kerana ia berhias untuk lelaki bukan suaminya dan suka mengumpat orang. "Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang asing, bersolek dan berhias supaya kecantikannya dilihat lelaki lain. "Perempuan diikat kedua kakinya dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, disuakan ular dan kala kepadanya kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya dan tidak mandi janabah. "Perempuan kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan rupanya seperti anjing ialah perempuan yang suka membuat fitnah dan membenci suaminya.

Seterusnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menyakit hati suami dengan lidahnya pada hari kiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang 70 hasta kemudian diikat di belakang tengkoknya." Abu Bakar as-Sidik mengatakan, aku dengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Perempuan menggunakan lidah untuk menyakiti hati suaminya ia akan dilaknat dan kemurkaan Allah." Usamah bin Zaid menceritakan, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku berdiri di atas syurga, kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah golongan miskin dan orang kaya tertahan di luar pintu syurga kerana dihisab. Selain daripada itu ahli neraka diperintahkan masuk ke dalam neraka, dan aku berdiri di atas pintu neraka, ku lihat kebanyakan yang masuk ke dalam neraka adalah perempuan."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Aku lihat api neraka, tidak pernah aku melihatnya seperti hari ini, kerana ada pemandangan yang dahsyat di dalamnya aku saksikan kebanyakan ahli neraka adalah perempuan." Rasulullah SAW ditanya, mengapa ya Rasulullah? Baginda SAW menjawab: "Perempuan mengkufurkan suaminya dan mengkufurkan ihsannya, Jika engkau membuat baik kepadanya seberapa banyak pun dia belum berpuas hati dan cukup." (Hadis riwayat Bukhari)

MENGUCAPKAN SELAMAT KEPADA ORANG BUKAN ISLAM PADA HARI PERAYAAN MEREKA

Orang Islam diperintahkan berurusan dengan adil lagi lemah lembut dengan tetangga bukan Islamnya. Orang Islam boleh mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam kerana hari perayaan mereka dan perbuatan ini menjadi lebih wajib jika orang bukan Islam itu mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam. Allah subahanahu wata’ala brfirman: “Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti member salam), maka balaslah penghormatan itu dengan cara yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”…- An-nisa’ 4:86
Sesungguhnya, antara orang Islam dengan bukan orang Islam, ada hubungan padu yang sangat erat dan ditentukan serta dianggap perlu menurut cara dan tindak tanduk kehidupan sendiri, seperti hubungan sebagai jiran tetangga, persahabatan di tempat kerja atau di tempat belajar.
Selain itu juga, ada juga dikalangan orang Islam yang mungkin merasa dia sebenarnya berhutang budi kepada orang bukan Islam dalam keadaan yang tertentu seperti terhutang budi terhadap pertolongan yang telah diberikan dan sebagainya. Seorang Arab yang terkenal berkata bahawa kita terbelenggu oleh pertolongan orang lain.
Oleh yang demikian bagaimanakah kedudukan orang Islam terhadap orang bukan Islam yang seperti itu, yang sebenarnya sedikit pun tidak memusuhi orang Islam, tidak menentang mereka disebabkan oleh agama mereka dan tidak pula secara aktif mengusir orang Islam dari rumah dan tempat tinggal mereka?
Kitab Suci al-Quran menerangkan mengenai  bagaimana hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam dijalankan dalam surah al-Mumtahanah, yang pada dasarnya diturunkan dan ditujukan kepada golongan kafir musyrik. Allah subhanahu wata’ala berfirman: “Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim”…–surah al-Mumtahanah 60:8-9.
Ayat di atas menetapkan bahawa ada perbezaan yang jelas diantara orang yang memerangi orang Islam dan memperlakukannya sebagai musuh dengan orang yang berinteraksi dan berurusan dengan orang Islam secara damai. Kita diperintah memperlakukan golongan yang kedua ini dengan baik dan dengan cara yang adil serta saksama.
Mengenai kumpulan yang satu lagi pula, ayat di atas jelas melarang berlaku taat setia serta memberi sokongan kepada mereka yakni golongan yang memilih menjadi musuh Islam dan Muslimin dan secara giat berusaha mengusir orang Islam dari kampung halaman dan tanah air mereka kerana tiada sebab lain melainkan orang Islam itu menyatakan bahawa tiada tuhan yang lain selain Allah, sebagaimana yang dilakukan oleh orang Quarisy dan kaum kafir Mekah kepada Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabatnya.
Rasulullah s.a.w. menasihati kita agar berurusan dengan orang bukan Islam dengan cara yang lemah lembut, bukan menggunakan cara yang keras dan mengancam. Sekumpulan orang Yahudi diriwayatkan mendatangi Rasulullah s.a.w. dengan ucapan yang sengaja dirosakkan lalu mengucapkan ‘Assam ‘alaikum, O Muhammad!’ (ertinya ‘mudah-mudahan maut dan kemusnahan menimpamu’), bukannya Assalammu ‘alaikum’, Aisyah r.a., yang mendengar ucapan mereka menjawab, ‘Assamu alaikum juga dan laknat serta kemurkaan Allah kepadamu!’ Aisyah serta merta ditegur oleh Rasulullah s.a.w. kerana kata-katanya itu. Aisyah memberitahu baginda, ‘Tidakkah tuan dengar apa kata mereka?’ Jawab baginda, ‘Aku dengar dan aku balas dengan mengatakan, “Dan kepada kamu” (yakni bahawa maut akan menimpa kamu juga seperti aku akn ditimpanya). Baginda seterusnya berkata, ‘Wahai Aisyah! Allah suka akan sifat lemah-lembut dalam semua perkara.’ –Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.
Sesungguhnya mengucapkan selamat kepada orang bukan Islam pada hari perayaan mereka merupakan lebih daripada kewajiban jika mereka mengucapkan selamat pada hari perayaan Islam, kerana kita diperintahkan membalas perlakuan baik dengan perlakuan yang serupa dan membalas ucapan selamat dengan dengan ucapan yang lebih baik ataupun sekurang-kurangnya dengan ucapan yang sama baiknya. Allah yang Maha Kuasa berfirman:” Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan cara yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama)”…-surah An-Nissa’ 4:86
Orang Islam dilarang bersifat kasar atau kurang sopan kepada sesiapa pun kerana Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadis yang lain, ‘Orang mukmin yang paling sempurna dari sudut imannya ialah orang yang memiliki tingkah laku yang sangat baik.’ –Diriwayatkan oleh Ahmad, at-Thirmidhi, Ad-Darmi dan abu Dawud. Dan baginda juga bersabda, ‘Sesungguhnya aku tidaklah diutuskan melainkan untuk menyempurnakan tingkah laku yang paling mulia.’ –Diriwayatkan oleh Ahmad, Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad dan Al-Bazzar dalam Kashful Astar.
Perkara ini menjadi lebih penting jika kita berminat mengajak orang bukan Islam ini  kepada Islam dan perkara itu tidak akan tercapai jika kita memperlakukan mereka dengan kasar, keras dan kejam, melainkan dengan kelakuan yang baik dan akhlak yang mulia. Rasulullah s.a.w. berurusan dengan orang kafir Quraisy dengan cara dan tingkah laku yang paling baik sepanjang hidupnya di Mekah meskipun mereka memusuhi, membenci, menindas dan menghina baginda dan para sahabat secara melampau.
Sesetengah ulama’ seperti Ibn Taymiyyah dan muridnya, iaitu ulama besar Ibn al-Qayyim, menggunakan peraturan yang keras tentang boleh diterimanya perkara ini serta penyertaan orang Islam dalam perayaan bukan Islam. Kami juga menerima pendirian yang sama dengan menasihati orang Islam jangan merayakan perayaan orang bukan Islam, baik orang musyrik ataupun Ahlul Kitab, sebab kami dapati ada orang islam yang jahil merayakan Krismas sebagaimana yang biasanya mereka merayakan Aidilfitri dan Aidiladha dan mungkin malahan lebih daripada itu. Perkara ini haram, kerana kita orang Islam mempunyai perayaan kita sendiri yang unik.
Tidak ada masalahnya mengucapkan selamat kepada orang lain pada hari perayaan mereka jika dirasakan ada sedikit ikatan perhubungan atau persahabatan yang dirasakan positif dalam interaksi sosial, dan berbalas-balas ucapan selamat itu merupakan perkara penting dan dituntut dalam Syariah Islam kita yang mulia ini.
             Mengenai perayaan patriotik dan perayaan kebangsaan seperti Hari Merdeka, Hari Kanak-kanak dan sebagainya, tidak ada tegahan apa-apa kepada orang Islam untuk mengucapkan selamat kepada orang lain mengenai perkara-perkara tadi, dan sesungguhnya orang Islam boleh pula turut serta dalam perayaan-perayaan itu sebagai warganegara negara tersebut di samping menjaga tatatertib dan kawalan Islam dalam semua hal.

-Mohd Syakirin Bin Md Zahar
 Timbalan Presiden
 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) 

Rujukan: Buku fatwa menuju kehidupan moden,
   Majlis Fatwa dan Penyelidikan Islam Eropah