Tuesday, June 7, 2011

Nilai IPU mengikut perspektif Islam~

Firman Allah SWT di dalam surah al-Rum ayat 41:
Telah berlaku kerosakan di darat dan di laut kesan daripada perbuatan manusia, demikian (supaya Allah) merasakan kepada mereka terhadap (kerosakan) yang mereka lakukan, semoga mereka kembali bertaubat.
Firman Allah dalam surat al-Baqarah ayat 30-31:
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”..
Dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar”.
Ayat Al-Quran di atas antara ayat-ayat ALLAH yang menyentuh mengenai kerosakan yang ironisnya dikaitkan dengan kelakuan manusia yang tidak pernah putus melakukan kerosakan di atas muka bumi ALLAH. Pencemaran terutamanya yang melibatkan alam sekitar seolah dipandang enteng oleh kebanyakkan manusia di muka bumi ALLAH ini sedangkan bumi atau alam ini merupakan amanah ALLAH kepada kita sebagai khalifah yang mentadbir muka bumi ALLAH ini.
Selain ayat di atas juga, ada berpuluh-puluh malah beratus-ratus ayat quran yang menceritakan mengenai alam sekitar yang sepatutnya membuat kita berfikir mengenai ciptaan serta kekuasaan ALLAH. ALLAH bercerita mengenai air, langit, bumi, tanah, bukit, gunung-ganang, fenomena alam sekitar, bulan, bintang, matahari dan sebagainya di dalam kalamNYA yang mulia tidak lain tidak bukan bertujuan adalah supaya kita sentiasa bersyukur dan menghargai ciptaan-ciptaanNYA yang tidak ternilai hebatnya.
Maka apabila berbicara mengenai pencemaran alam sekitar, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencemaran itu sendiri?
Tasik IPG Penang
Menurut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 menyatakan bahawa pencemaran adalah sebarang perubahan sama ada secara langsung atau tidak langsung kepada sifat-sifat fizik, kimia, biologi atau aras sinaran mana-mana bahagian alam sekeliling dengan melepaskan, mengeluarkan atau meletakkan buangan hingga menjejaskan kegunaan-kegunaan berfaedah, yang menimbulkan sesuatu keadaan berbahaya atau mungkin berbahaya kepada kesihatan, keselamatan atau kebajikan awam atau organisma-organisma lain, tumbuhan dan haiwan. Dan antara contoh-contoh pencemaran adalah pencemaran udara, pencemaran air dan sebagainya.

Berita pada hari ini melaporkan mengenai kebakaran di negara jiran yang menjejaskan kualiti udara negara kita sehinggakan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di berapa lokasi utama negara menunjukkan peningkatan. Sebagai tambahan, Indeks Pencemaran Udara (IPU) adalah merupakan salah satu cara untuk mengetahui tahap teruknya jerebu. Ia melibatkan pengukuran kuantiti zarah halus merbahaya seperti karbon monoksida, sulfur dioksida, nitrogen dioksida dan ozon. Pengelasan tahap kualiti udara mengikut IPU adalah seperti berikut:
Nilai IPU Kualiti udara
0 – 50 Baik
51 – 100 Sederhana
101 – 200 Tidak sihat
201 – 300 Sangat tidak sihat
301 – 400 Berbahaya
401 – 500 Sangat berbahaya
Lebih 501 Darurat

Memetik kenyataan Pengarah Bahagian Udara, Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menyebutkan bahawa situasi yang berlaku sekarang ini sehingga memberi kesan pandangan terhad terhadap beberapa lokasi di negara kita merupakan fenomena biasa akibat pencemaran rentas sempadan berpunca daripada beberapa kawasan di Riau dan Sumatera Indonesia yang kini sedang mengalami kebakaran menyebabkan tempiasnya dirasai di negara kita apabala angin barat daya membawa udara kering tersebut.
Beliau juga menambah, fenomena yang berlaku ini masih belum menyebabkan negara mengalami jerebu tetapi hanya mengalami keadaan kurang ketampakan atau dalam erti kata lain pandangan terhad. Namun, tidak mustahil fenomena jerebu yang pernah melanda negara kita satu ketika dahulu berulang kembali pada kali ini andai tiada alternatif ataupun langkah diambil oleh pihak-pihak terbabit dalam membendung keadaan yang sedang berlaku sekarang ini.
Dalam masa yang sama, tidak di nafikan juga bahawa di negara kita, usaha untuk memelihara dan memulihara alam sekitar telah dilakukan sejak sekian lama cuma hasilnya tidak kelihatan kerana masih kurangnya kesedaran di kalangan kita semua.Mari kita berdoa agar kita semua sentiasa berada dalam lingkungan kerahmatan dan peliharaan ALLAH dari perkara serta bencana yang kita tidak ingini.

Maka, pada pandangan saya, mahasiswa terutamanya mereka yang bergelar mahasiswa Islam perlulah cakna atau mengambil tahu perkara yang melibatkan kerosakan alam sekitar bukan sahaja yang berlaku di negara kita malahan di negara lain kerana sudah jelas lagi nyata bahawa alam ini merupakan amanah kepada kita dan kita digesa untuk memakmurkannya.Dalam Islam, islam mengajar supaya kita sentiasa mengenang budi kepada alam kerana kita mengetahui bahawa diri kita ini dicipta daripada unsur yang berkaitan dengan alam, seperti tanah, air, udara dan lain-lain. Maka sewajarnya kita menghargai semua unsur alam dalam diri kita ini dengan cara memelihara serta menjaganya. Firman Allah SWT dalam surah Hud ayat 61:
Dan kepada kaum Thamud, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Soleh. Dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada Tuhan bagi kamu selain daripadanya. Dialah yang menjadikan kamu dari bahan-bahan bumi, serta menghendaki kamu memakmurkannya. oleh itu mintalah ampun kepada Allah dari perbuatan syirik, kemudian kembalilah kepadanya Dengan taat dan tauhid. Sesungguhnya Tuhanku sentiasa dekat, lagi sentiasa memperkenankan permohonan hambaNya”.
 Kesimpulannya, alam ini seharusnya di urus dengan baik dan kesedaran mengenai penjagaan alam perlu disemai sentiasa kerana kita memerlukan alam untuk hidup, dan alam juga memerlukan kita menjaganya untuk terus sihat dan berfungsi dengan fungsinya yang asal.

-DAIE MUTARABBI MEMIMPIN UMMAH-

MOHD SYAKIRIN BIN MD ZAHAR
TIMBALAN PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM,
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA (PMIUPM)

No comments:

Post a Comment